BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Rabu, 27 Mei 2009

Jaulah Negeri Sembilan dan Melaka


Salam,
Pada 23 - 24 hb Mei yang lalu, saya dan beberapa sahabat telah berjaulah ke negeri sembilan dan melaka. Tujuannya ialah untuk menziarahi rakan-rakan lain yang tinggal di dua negeri berkenaan disamping tempat-tempat menarik. Antaranya ialah Seremban, Hutan Lipur Ulu Bendul, Muzium Seri Menanti dan sekitarnya, Bandar Melaka dan sebagainya.

Pagi sabtu, kami berkumpul di Serdang dan bertolak sekitar 9 pagi. Dengan berbekalkan dua buah tunggangan iaitu sang kenari Dav dan si myvi Wqw, kami bertujuh memulakan perjalanan dengan tenang dan mengharapkan perjalanan kami selamat dengan perlindungan dari Allah SWT. Kami juga mengharapkan apa yang kami usahakan ini mendapat keredhaan-Nya.
Ketua musafir kami adalah al-akh Nidzam atau lebih mahsyur dengan panggilan comelnya, Nije yang juga merupakan driver utama sang kenari. Manakala al-akh Uwais pula bertindak sebagai driver utama si myvi. Lain-lain peserta adalah Mizzi, yang juga co-pilot setia Nije, Azzad, Shafik, Fadzli, dan ehem-ehem, Soleh.

Destinasi pertama kami ialah menziarahi Aimin di Senawang, Negeri Sembilan. Si jejaka yang murah dengan senyuman ini menyambut kami dengan mesra dan penuh ukhuwah seolah-olah lama tidak berjumpa. Kami dibawa bersiar-siar sekitar Bandar Seremban yang tidak jauh dari situ dan sempat solat Dhuha di Masjid Negeri yang unik itu. Kemudian kembali semula ke rumahnya yang tidak jauh dari stadium Paroi itu untuk merasa masakan orang Nogori yang, mmmm lazat sekali.

Setelah solat zohor di masjid berdekatan, kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. Kali ini kami telah berjaya ‘menculik’ Aimin dari ibunya untuk bersama kami, hehe. Dalam perjalanan menuju ke Seri Menanti, kami singgah sebentar di Hutan Lipur Ulu Bendul untuk mandi di air terjun di situ. Persinggahan yang ad-hoc itu membuat beberapa di antara kami kecewa kerana tidak membawa persalinan mandi di sana.

Seri Menanti sedang menanti kehadiran kami. Di sana kami melawat keluarga angkat Uwais yang pernah tinggal di sana untuk projek Seni Bina. Kemudian melawat Muzium Diraja Seri Menanti yang terkenal dengan Adat Perpatih itu. Juga melawat rumah projek Seni Bina yang dikatakan berusia 300 tahun.

Menjelang malam, kami menziarahi pula keluarga angkat Nije sekaligus bermalam di rumah beliau. Di sini, barulah kami dapat mendengar loghat orang Nogori dengan pekat yang dituturkan oleh nenek tersebut yang sangat peramah dan baik hati. Alhamdulillah, Allah telah memudahkan perjalanan kami. Semua orang yang kami jumpa melayan kami dengan baik sekali.
Keesokannya, setelah bersarapan dan mengucapkan salam kepada nenek dan keluarganya, kami bertolak pula ke Alor Gajah, Melaka. Sasaran kami adalah al-akh Iman. Sampai saja di sana, kami juga berjumpa dengan Zulkhairi dan bersarapan untuk kali kedua, huhu. Tiada yang paling indah apabila dua saudara bertemu dan berpisah kerana Allah. Itulah ukhuwah, itulah keindahan persaudaraan atas dasar aqidah.

Dengan ahli jaulah menjadi semakin bertambah, kami ke Bandar Hilir yang terkenal dikalangan pelancong itu sekadar untuk berjalan, melihat, dan mentafsir. Selepas makan tengahari di Dataran Pahlawan dan solat di Masjid Selat Melaka, kami bertolak pulang ke Serdang. Pertemuan singkat kami ini telah meningkatkan ukhuwah kami dan dengan program jaulah dan ziarah ini, kami lebih mengenali saudara kami. Kata-kata popular yang diungkapkan oleh Saidina Umar Al-Khattab, “Kamu belum mengenali saudara kamu sekiranya kamu belum makan bersama, tidur bersama, dan bermusafir bersama.”

Selain untuk berukhuwah, kami juga dapat melatih diri kami untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan bi’ah yang bermacam-macam dalam menjaga ibadah dan konsistensinya. Dalam erti kata lain, tarbiyyah dzatiyah. Dalam setiap destinasi yang dikunjungi, tazkirah ringkas disampaikan oleh setiap daripada kami secara bergilir. Semoga usaha yang sedikit ini tidak berakhir hanya dengan penat lelah, tapi mendapat perhatian dan keredhaan Yang Satu. InsyaAllah.

1 ulasan:

buna BC berkata...

Best air tejun tuh...