BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Rabu, 18 Ogos 2010

Cerita Tentang Habib Bourguiba



Bismillah...

Cuba kita bezakan dua pernyataan ini yang diluahkan oleh seseorang pada hari pertama Ramadhan:

1. 'Saya sakit kepala sebab hari ni saya puasa'
2. 'Saya sakit kepala sebab dah lama saya tak puasa'

Keterangan: kekurangan gula dalam badan yang mendadak boleh menyebabkan seseorang mudah mengalami sakit kepala pada sesetengah orang. Apabila kita berpuasa, gula dalam badan akan berkurang dengan mendadak. Tapi perkara ini tak berlaku bagi mereka yang selalu berpuasa sunat pada bulan selain Ramadhan kerana kejatuhan gula adalah secara berkala. Kenyataan no. 1 seolah-olah menyalahkan puasa kepada penyebab beliau sakit kepala. Kenyataan no.2 pula menyalahkan diri sendiri kerana kurang amalan puasa sunat sebagai persediaan memasuki bulan Ramadhan.

Ini pula cerita sang Presiden Tunisia, Habib Bourguiba, yang mana pada tahun 1961 beliau telah menggemparkan umat Islam di seluruh dunia dengan mengeluarkan perintah melarang rakyatnya, terutama dari kalangan kakitangan awam daripada berpuasa di bulan Ramadhan. Untuk menunjukkan tahap keseriusan beliau dengan perintah ini, Habib Bourguiba telah muncul bersama anggota kabinetnya secara langsung di televisyen pada tengahari Ramadhan dan makan beramai-ramai dengan mesej,"kami memaksudkan apa yang kami kata!" Alasan beliau terhadap larangan tersebut adalah puasa mengurangkan produktiviti negara.

Mari kita membuat satu analogi, sekiranya kita melihat sebuah kereta Mercedes Benz terbengkalai di tepi jalan kerana terlanggar tiang lampu, adakah kita akan menyalahkan kereta Mercedes tersebut dan teknologinya? Tentu tidak bukan. Kita pasti menyalahkan pemandunya kerana setelah diberi kereta yang mewah dengan teknologi yang hebat, masih lagi berlaku perlanggaran.

Begitu juga dengan kita yang telah mendapat Islam dengan bimbingan Al-Quran dan Sunnah yang diyakini terbaik seluruhnya, adakah kita masih nak menyalahkan puasa sebagai penyebab sakit kepala kita, kekurangan produktiviti kita? Semuanya adalah atas kelemahan diri kita sendiri yang tidak menyediakan diri pada tahap terbaik. Sepatutnya Ramadhan memberikan kesihatan yang lebih baik kepada yang mengambil manfaatnya, perkara ini telah dibuktikan oleh banyak kajian tentang amalan puasa.

Dengan kehadiran Ramadhan pada kali ini, panjatkanlah kesyukuran ke hadrat Illahi kerana memberi peluang kepada kita untuk berjumpa Ramadhan sekali lagi dan berpeluang menambah amal yang mudah untuk dilipatgandakan oleh Ya Rabb. Menyambut Ramadhan dengan hati yang senang dan gembira bukannya dengan rasa berat dan penuh bebanan menggunung. Akhir kalam, selamat berpuasa, tingkatkan amal, gandakan usaha yang mulia di bulan yang penuh barakah ini. Salam sayang dari Red Writer! Wallahu'alam.

kredit kepada artikel asal: Saifulislam.com

Jumaat, 23 Julai 2010

Cinta Si Sunan





Bismillah...

"Mahukah kau mendengar tawaranku?" Mesti ada yang familiar dengan ayat tersebut kan? Itulah petikan popular yang menjadi 'trademark' bagi siri novel popular masa kini, Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu, Hijab Sang Pencinta dan Cinta Sufi nukilan Ramlee Awang Murshid (RAM), seorang penulis novel dengan genre thriller sebagai identitinya. Bagi peminat beliau, pasti tidak pernah melepaskan setiap novel keluaran beliau sejak dahulu lagi sehingga sekarang dan akan datang. Hasil kerja tangan beliau yang kreatif dengan idea yang lain dari yang lain menjadikan beliau antara penulis popular masa kini.

Apabila bercakap mengenai novel melayu, pasti akan terbayangkan kisah novel cinta yang menjiwangkan dan hanya diminati kaum Hawa sahaja kan. Tetapi, novel RAM yang lebih fokus pada aspek thriller daripada cinta menyebabkan novel beliau disukai oleh semua golongan termasuk kaum Adam juga. Tambahan pula, banyak juga elemen islamik diselitkan pada setiap novel beliau menjadikan ia menarik minat saya untuk membacanya (walaupun sebelum ni memang tak minat novel).

Bercerita sedikit kisah siri novel tersebut, yang menceritakan tentang kisah seorang pengembara bernama Saifuddin dari Kampung Punggor, Johor pada kurun ke 15 yang mengembara ke Acheh. Dididik dengan baik oleh Wali Sufi sehingga menjadi seorang lelaki yang hebat dalam dunia persilatan dan kesufian, menentang kejahatan dunia kegelapan disamping menyebarkan dakwah ke setiap tempat yang dikunjungi. Beliau yang juga digelar Laksamana Sunan oleh kerajaan Acheh di Tanah Rencong bukan sahaja menjelajah tempat, tetapi juga menjelajah menembusi masa sehingga tercampak ke kurun ke 21.


Kisah hero yang hampir sempurna itu telah mengujakan pembaca sehingga ada yang jatuh cinta pada Laksamana Sunan walaupun ia hanyalah watak dalam sebuah novel fiksyen epik semata-mata. Ada juga yang memuji-muja penulis kerana boleh menghasilkan novel sedemikian. Banyak komen yang dilontarkan di laman peminat RAM (RAMFC) tentang kehebatan Laksamana Sunan dan RAM sendiri. Ini membuatkan RAM terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa peminat tidak seharusnya terlalu teruja dan banyak memuji watak Laksamana Sunan dan beliau sendiri kerana hanya manusia biasa yang ada kelemahan tersendiri.

Apa yang sepatutnya diambil peduli ialah pengajaran yang dipaparkan pada novel tersebut seperti sifat Laksamana Sunan yang sentiasa mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah seperti berzikir, solat sunat, malah sering dipaparkan keadaan beliau yang sering solat di sepertiga malam. Juga bagaimana beliau seorang yang selalu mengingati Allah dan sentiasa meminta ampun dari Allah seperti yang dilakukan Ar-Rasul SAW. Sifat tawaduk dan keyakinan yang tinggi kepada Ya Rabb, dan sebagainya. Itulah watak sufi yang sepatutnya menjadi ikutan kita setelah membaca novel tersebut. Tapi, orang kata kalau tak dapat buat semua, jangan tinggalkan semua kerana watak tersebut terlalu ideal. Wallahu'alam.

Selasa, 13 Julai 2010

Gloria de Espana

Photo by Cameron Spencer/Getty Images


Bismillah...

Berakhirlah sudah kejuaraan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Satu pertandingan sukan yang terulung di planet bumi ini yang diraikan di segenap pelusuk dunia dengan kemeriahan yang hanya dapat dilihat setiap empat tahun. Itulah penangan bola sepak yang membawa masyarakat dunia memberi tumpuan hanya kepada bola sepak selama sebulan yang lalu. Media cetak mahupun elektronik, syarikat swasta dan kerajaan, masing-masing berlumba-lumba ingin mempromosikan Piala Dunia dengan pelbagai kuiz, hadiah, pertandingan, siaran langsung dan bermacam-macam lagi. Fuhh!!! sekali lagi, dahsyat sungguh.

Isu lain ditinggalkan sementara atau tak dipandang terus. Produktiviti pekerja merosot akibat kerap berjaga malam kerana menyokong pasukan kegemaran. Penganjuran kali ini ada sedikit kelainan dari yang lepas-lepas kerana kehadiran ahlil nujum yang berkemampuan menentukan keputusan perlawanan yang bakal dilangsungkan. Hebat sungguh si 'Paul' itu. Seolah-olah ingin menjadi tuhan pula. Memudahkan pula si penjudi untuk bertaruh.

Hmm... nak cakap apa sebenarnya ni? Sekadar nak menyatakan yang penganjuran Piala Dunia adalah acara yang paling memberi impak kepada masyarakat dunia sama ada positif atau pun negatif(walaupun lebih banyak negatifnya). Walaupun kita mengetahui bahawa sukan bola sepak adalah salah satu agenda barat untuk menjauhkan umat Islam dari mengingati Allah, tapi bagaimana kita masih lagi menjadi seperti mereka yang jahil. Tidak salah kalau kita ikut serta mengikuti perkembangan Piala Dunia jika dan hanya jika ianya tidak menjejaskan walau sedikit amalan kita sebagai Muslim. Marilah kita perbanyakkan doa kepada Ya Rabb agar ketulenan Islam kita tidak terjejas oleh pelbagai keseronokan dunia yang mengasyikkan ini. Semoga Allah mengampunkan dosa kita semua. Amin.

p/s: minat pasukan spain dari awal lagi, hehe...