BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Rabu, 18 Ogos 2010

Cerita Tentang Habib Bourguiba



Bismillah...

Cuba kita bezakan dua pernyataan ini yang diluahkan oleh seseorang pada hari pertama Ramadhan:

1. 'Saya sakit kepala sebab hari ni saya puasa'
2. 'Saya sakit kepala sebab dah lama saya tak puasa'

Keterangan: kekurangan gula dalam badan yang mendadak boleh menyebabkan seseorang mudah mengalami sakit kepala pada sesetengah orang. Apabila kita berpuasa, gula dalam badan akan berkurang dengan mendadak. Tapi perkara ini tak berlaku bagi mereka yang selalu berpuasa sunat pada bulan selain Ramadhan kerana kejatuhan gula adalah secara berkala. Kenyataan no. 1 seolah-olah menyalahkan puasa kepada penyebab beliau sakit kepala. Kenyataan no.2 pula menyalahkan diri sendiri kerana kurang amalan puasa sunat sebagai persediaan memasuki bulan Ramadhan.

Ini pula cerita sang Presiden Tunisia, Habib Bourguiba, yang mana pada tahun 1961 beliau telah menggemparkan umat Islam di seluruh dunia dengan mengeluarkan perintah melarang rakyatnya, terutama dari kalangan kakitangan awam daripada berpuasa di bulan Ramadhan. Untuk menunjukkan tahap keseriusan beliau dengan perintah ini, Habib Bourguiba telah muncul bersama anggota kabinetnya secara langsung di televisyen pada tengahari Ramadhan dan makan beramai-ramai dengan mesej,"kami memaksudkan apa yang kami kata!" Alasan beliau terhadap larangan tersebut adalah puasa mengurangkan produktiviti negara.

Mari kita membuat satu analogi, sekiranya kita melihat sebuah kereta Mercedes Benz terbengkalai di tepi jalan kerana terlanggar tiang lampu, adakah kita akan menyalahkan kereta Mercedes tersebut dan teknologinya? Tentu tidak bukan. Kita pasti menyalahkan pemandunya kerana setelah diberi kereta yang mewah dengan teknologi yang hebat, masih lagi berlaku perlanggaran.

Begitu juga dengan kita yang telah mendapat Islam dengan bimbingan Al-Quran dan Sunnah yang diyakini terbaik seluruhnya, adakah kita masih nak menyalahkan puasa sebagai penyebab sakit kepala kita, kekurangan produktiviti kita? Semuanya adalah atas kelemahan diri kita sendiri yang tidak menyediakan diri pada tahap terbaik. Sepatutnya Ramadhan memberikan kesihatan yang lebih baik kepada yang mengambil manfaatnya, perkara ini telah dibuktikan oleh banyak kajian tentang amalan puasa.

Dengan kehadiran Ramadhan pada kali ini, panjatkanlah kesyukuran ke hadrat Illahi kerana memberi peluang kepada kita untuk berjumpa Ramadhan sekali lagi dan berpeluang menambah amal yang mudah untuk dilipatgandakan oleh Ya Rabb. Menyambut Ramadhan dengan hati yang senang dan gembira bukannya dengan rasa berat dan penuh bebanan menggunung. Akhir kalam, selamat berpuasa, tingkatkan amal, gandakan usaha yang mulia di bulan yang penuh barakah ini. Salam sayang dari Red Writer! Wallahu'alam.

kredit kepada artikel asal: Saifulislam.com

0 ulasan: