BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Isnin, 10 Januari 2011

Open Your Eyes, Heart and Mind.


Seawal pagi kita gemar membaca akhbar untuk mengetahui apa yang berlaku pada dunia sekarang ini terutama berita yang boleh mempengaruhi kehidupan kita. Perasan atau tidak, kita pasti akan menggelengkan kepala terhadap berita atau artikel yang dibaca itu. Ada pula yang beristighfar, mengucapkan MasyaAllah dan bermacam-macam lagi. Kenapa? Kerana kita tahu itu adalah perkara yang salah dan berasa pelik kenapa perkara sedemikian masih berlaku lagi. Antaranya ialah berita yang melibatkan keruntuhan akhlak masyarakat yang dikatakan moden dan canggih ini.

Antaranya ialah kes-kes rogol yang tak sudah-sudah, khalwat di sana-sini, dadah yang berleluasa, dan ada yang lebih teruk adalah kes hubungan sejenis. Pasti dan pasti kita akan berasa jijik dengan kemaksiatan yang tak pernah sunyi ini. Kita merasakan masyarakat telah semakin rosak akhlak dan peribadi sebagai muslim hampir hilang dalam diri sendiri. Walaupun kita mengetahui bahawa kerajaan telah banyak menguatkuasakan undang-undang dan pelbagai cara dan idea dikeluarkan demi mencari jalan penyelesaian masalah yang membelenggu ini.

Kita pula sebagai masyarakat yang prihatin ingin juga memikirkan jalan penyelesaian terbaik bagi masalah tersebut. Dan kita mendapati bahawa Islam jalan untuk masalah ini. Hmm…tapi bagaimana Islam itu sendiri ingin menyelesaikannya? Adakah dengan mengajar pendidikan Islam? Melaksanakan terus hukum Hudud?



Marilah kita kembali kepada asal kejadian manusia. Merenung kembali bagaimana manusia dijadikan Allah sebagai makhluk yang terbaik. Makhluk yang menjadi khalifah di muka bumi ini. Banyak diceritakan dalam Kalam Allah perihal kejadian manusia. Firman Allah Ta’ala,



Maha suci Allah! Allah menyatakan: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada titisan mani yang sifatnya berupa campuran. Ia mengandungi kecenderungan untuk berbuat baik dan jahat yang terpendam. Ia mengandungi berbagai sifat dan perangai manusia, serta hala tuju yang berbeza-beza. Jika Allah menghendaki, pasti Dia menciptakan manusia berada dalam satu sistem dan satu jalan, sama ada semua berada dalam jalan kebaikan atau semuanya berada dalam jalan kejahatan.

Namun manusia tetap berbeza kecuali mereka yang mendapat limpahan rahmat Allah. Disebabkan perbezaan inilah Allah menciptakan manusia. Dengan perbezaan tersebut manusia mampu memakmurkan dunia. Dan disebabkan perbezaan ini jugalah Allah menciptakan dunia dan akhirat. Sesungguhnya Allah menciptakan manusia daripada titisan mani yang bercampur bertujuan untuk menguji dan menilai manusia yang akan diberikan tanggungjawab melaksanakan syariat Allah.

“…kerana itu kami jadikan dia mendengar dan melihat.”(76:2)

Maksudnya, untuk menghadapi ujian ini, Allah Ta’ala menciptakan untuk kita kecerdasan minda dan persepsi bagi membezakan sesuatu dengan menggunakan akal fikiran. Semua maklumat yang diproses oleh akal manusia diterima melalui deria dengar dan pandang. Namun, adakah akal semata-mata sudah cukup untuk memahami dan membezakan yang mana baik dan yang mana jahat? Tidak…lantaran itu Allah menyatakan :



Sesungguhnya Allah tunjukkan kepada manusia dua jalan umum, atau Allah tunjuk dan jelaskan kepada manusia jalan kebaikan dan jalan kejahatan melalui perantaraan syariat yang diturunkan dan para rasul yang diutuskan setelah Allah anugerahkan kepada manusia minda dan kemampuan mengamati sesuatu perkara.

Sesiapa yang bersyukur dengan segala nikmatNya, dan dia merentasi jalan yang baik, dia layak mendapat tempat yang mulia iaitu syurga. Manakala mereka yang kufur dengan nikmat Allah dan tidak melaksanakan perintah-Nya lalu dia kufur, mendustai dan melakukan perbuatan keji, dia layak menerima tempat yang keji iaitu neraka. Inilah apa yang disediakan ketika menyebut mengenai dua golongan ini ; golongan yang bersyukur dan golongan yang kufur. Maka, bukalah mata, hati dan minda kita untuk menggapai syurga yang abadi, atau kita sudah bersedia menghadapi azab neraka Allah yang Maha dahsyat. Wallahua’alam.



Sumber : Tafsir Al-Wadhih, Dr. Muhammad Mahmud Hijazi, Juz 29, Pustaka Salam, Kuala Lumpur, 2005.

p/s : Semua gambar adalah hiasan semata-mata, tiada kaitan dengan artikel yang ditulis.