BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Jumaat, 12 September 2008

Bisikan Nafsu



Wahai para pemuda, jalan penyelesaian terpenting untuk membebaskan dirimu daripada tipu daya dan hasutan syaitan, melepaskan dirimu daripada perhiasan dan kesesatannya sebagaimana yang telah kami ambil daripada ayat-ayat al-Quran.


Kita ringkaskan jalan-jalan penyelesaian tersebut di dalam beberapa noktah berikut:

° Syaitan adalah musuh kepada manusia, maka kamu hendaklah menjadikannya sebagai musuh.

° Beristiqamah mengikuti manhaj rabbani dan berjalan di atas jalan yang lurus.

° Mempertingkatkan keimanan terhadap Allah, berlindung dan bertawakkal kepadaNya.

° Memohon perlindungan dengan Allah setelah dia merasakan godaan daripada syaitan yang direjam.

° Mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah dan merasakan pemerhatianNya di setiap masa samada ketika sunyi atau nyata.

° Menghidupkan hati dan anggota yang lain dengan zikir kepada Allah dan sentiasa taat serta beribadat kepadaNya.

° Sedar dan beringat setelah dialpakan oleh syaitan dan memutuskan hubungan dengan ahli batil dan sesat.


Dengan penyelesaian ini, kamu -wahai saudaraku para pemuda-akan menjadi insan yang beriman, sedar dan pandai bertindak di dalam segenap perkara. Kamu akan menjadi seorang yang mempunyai keimanan yang mendalam, beriltizam dengan manhaj Islam dan ajaran al-Quran. Syaitan tidak akan dapat bergantung, memperdaya atau menguasai kamu. Kamu selama-lamanya akan menjadi seorang hamba Allah yang ikhlas dan tenteraNya yang menang. Inilah makna firman Allah yang telah menggugat syaitan dengan kata-kata yang menggentarkan:

Maksudnya: Sesungguhnya hamba-hambaKu tidak adalah bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihan mereka sendiri). (Al Hijr,15: 42)


Inilah yang telah diakui oleh syaitan sendiri bahawa dia tidak mempunyai jalan untuk menggoda hamba Allah yang ikhlas:

Maksudnya: Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana engkau telah menjadikan daku sesat, maka demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semua, kecuali di antara zuriat Adam itu orang-orang yang dibersihkan daripada sebarang syirik.(Al Hijr,15: 39-40)



Inilah rahsia sabda Rasulullah s.a.w kepada Umar al-Faruq:

Maksudnya: Demi Allah yang diriku berada di bawah kekuasaanNya. Syaitan tidak akan bersemuka dengan engkau, apabila engkau melalui satu jalan maka syaitan akan melalui jalan yang lain. (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.)

Adalah diharapkan kepada kamu -wahai saudaraku para pemuda-supaya menjadi hamba Allah yang ikhlas dan mengikut manhaj yang dilalui oleh Umar al-Khattab iaitu keteguhannya bersama kebenaran iman, taqwa dan iltizamnya dengan Islam supaya tidak ada satu jalan pun untuk syaitan memperdayakan kamu... sehingga kamu tidak terpengaruh dengan kesesatan dan tipu daya syaitan di setiap detik kehidupanmu... Dan sesungguhnya firman Allah adalah benar dan hanya Dia sahaja yang mampu menunjukkan kepada kita semua jalan yang lurus.

Ketika Allah menjadikan jiwa manusia, Dia menjadikan di dalamnya dua penerimaan:

penerimaan terhadap kebaikan dan penerimaan terhadap kejahatan. Sekiranya manusia memperlengkapkan jiwanya dengan akhlak, amal soleh dan mengasuhnya dengan ilmu dan pentarbiahan... jiwa tersebut akan membesar dan berkembang dengan mengikut petunjuk dan kebaikan, beransur-ansur menuju ke arah keseimbangan dan kesempurnaan dan sentiasa bekerja untuk memperbaiki dirinya dan juga orang lain.


Sekiranya dia mengabai dan membiarkannya beberapa hari tanpa pengasuhan sehingga jiwanya diselaputi oleh karat-karat kejahilan, ditutup oleh wabak pergaulan bebas dan ditimbuni oleh suasana yang rosak serta adat kebiasaan yang keji, maka tidak syak lagi ia akan membesar bersama-sama kejahatan, kefasadan dan penyelewengan.


Al-Quran dan as-Sunnah telah menegaskan perkara ini. Allah telah berfirman:

Maksudnya: Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenali) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya kerjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebaikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (As Syams,91: 7-10)

Imam Bukhari telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Maksudnya: Setiap kanak-kanak itu dilahirkan di dalam keadaan bersih, maka kedua ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.

Imam Al Ghazali telah menegaskan di dalam Ihya’ Ulumuddin tentang penerimaan jiwa manusia terhadap kebaikan dan juga kejahatan serta persediaannya untuk beristiqamah di atas jalan yang lurus ataupun menyeleweng ke jalan yang sesat ketika beliau berkata:

Kanak-kanak adalah amanah kepada kedua ibubapanya dan hatinya berada dalam keadaan bersih. Sekiranya kanak-kanak tersebut disediakan dan diajar dengan kebaikan, maka dia akan membesar di atas kebaikan dan akan berbahagia di dunia dan akhirat.

Sekiranya dia disediakan dan diajar dengan kejahatan serta dibiarkan seperti binatang ternakan, dia akan menderita dan binasa. Menjaganya ialah dengan mendidik dan mengajarnya akhlak yang mulia.

Alangkah indahnya kata-kata penyair:

Akhlak tumbuh seperti tumbuh-tumbuhan,
apabila disirami air, ia akan tumbuh dengan baik,
sekiranya penjaganya menyediakan tempat yang baik,
ia akan mengeluarkan hasil yang baik.

Menurut al-Quran, nafsu terbahagi kepada tiga bahagian: Nafsu ammarah, nafsu lawwamah dan nafsu mutmainnah. Kita akan membincangkan ketiga-tiga nafsu ini secara ringkas.

1. Nafsu Ammarah:

Allah telah berfirman melalui lisan isteri raja Mesir di dalam surah Yusuf:

Maksudnya: Dan aku tidak membebaskan diri aku (dari kesalahan). Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang telah diberikan rahmat oleh Tuhanku. Maka Tuhanku adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (Yusuf,12: 53)

Maknanya: Nafsu manusia yang tidak dihiasi dengan keimanan dan tidak dibekalkan dengan ketaqwaan serta tidak beriltizam dengan agama rabbani... kebanyakannya akan mendorong manusia melakukan kejahatan disebabkan adanya dorongan syahwat dan penerimaan kejahatan yang telah dibekalkan kepadanya untuk mendapatkan kelazatan.

Begitu juga kerana adanya hasutan syaitan dan ia menghiasinya dengan berbagai-bagai dorongan...

Dengan ini, isteri raja telah menggoda dan mengajak Nabi Yusuf untuk melakukan kejahatan. Apabila Nabi Yusuf menolak, dia telah menghasut raja supaya memenjarakannya. Semua ini bertujuan menodai kesucian Nabi Yusuf dengan segala kejahatan dan tohmahan serta perkara yang menyakitkan.

Perkataan ‘kecuali orang yang telah diberikan rahmat oleh tuhanku’ membawa maksud Allah telah mengecualikan nafsu yang dirahmatiNya. Dia akan menjauhkannya daripada segala kejahatan dan kekejian, sebagaimana yang telah dilakukan kepada Nabi Yusuf a.s.

Perkataan ‘Maka Tuhanku adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani’ membawa maksud Tuhanku maha pengampun bagi sesiapa yang bertaubat dan menyesali perbuatan jahatnya. Dia akan mengampunkan dosa yang dilakukan oleh manusia kerana tabiat dan penerimaan kejahatan yang telah dijadikanNya untuk manusia, di mana ia dijadikan cenderung kepada kejahatan, penyelewengan dan menuju ke arah memenuhi tuntutan syahwat dan kelazatan.

2. Nafsu Lawwamah.

Allah telah berfirman di dalam surah al-Qiamah:

Maksudnya: Aku bersumpah dengan hari kiamat, dan Aku bersumpah dengan Nafsu Lawwamah (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati). (Al Qiamah,75: 1-2)

Mujahid berkata: Nafsu ini adalah nafsu yang mengeji dirinya sendiri di atas apa yang telah berlaku dan menyesali perbuatan jahat yang telah dilakukannya serta menyesali terhadap kebaikan, kenapa dia tidak memperbanyakkannya. Dia sentiasa mengeji dirinya walaupun dia telah bersungguh-sungguh melakukan ketaatan.


Al Farra’ pula berkata: "Ia sentiasa mengeji perbuatan jahat dan baik yang telah dilakukannya. Sekiranya dia melakukan kebaikan dia akan berkata: Kenapa aku tidak menambahnya?. Sekiranya dia melakukan kejahatan dia akan berkata: Amat celakalah apa yang telah aku lakukan.” Sekiranya beginilah keadaannya, maka ia merupakan pujian kepada nafsu.

3. Nafsu Mutmainnah.

Allah telah berfirman di dalam surah Al Fajr:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang mempunyai jiwa yang tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya (nafsu mutmainnah)! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan puas hati lagi diredhai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah kamu ke dalam golongan hamba-hambaKu yang bahagia. Dan masuklah ke dalam syurgaKu. (Al Fajr,89: 27-30)

Nafsu Mutmainnah adalah nafsu yang tetap berada di atas keimanan, ketaqwaan dan Islam.

Makna ayat di atas ialah: Wahai nafsu yang telah tetap dan teguh di atas keimanan, kebenaran dan beriltizam dengan jalan Islam serta menjaga garis sempadan syarak... kembalilah ke tempat yang mulia di sisi Tuhanmu dalam keadaan redha dengan apa yang telah engkau lakukan di dunia dan engkau pula diredhai oleh Tuhanmu. Engkau tidak suka marah dan tidak terfitnah... tidak ketika kaya dan tidak ketika miskin, tidak ketika sihat dan tidak juga ketika sakit, tidak ketika senang dan tidak pula di waktu susah. Engkau tidak melampaui batasan syarak di dalam hak dan tanggungjawab engkau... masuklah wahai nafsu mutmainnah ke dalam kumpulan hamba-hamba Allah yang dimuliakan dan bergabunglah ke dalam partinya yang soleh... masuklah syurga Allah yang mana kenikmatannya tidak pernah disaksikan di dunia dan tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak pernah terlintas di dalam hati manusia.

Tidak ragu lagi bahawa nafsu Mutmainnah merupakan nafsu yang paling tinggi sekali darjatnya daripada nafsu-nafsu yang telah disebutkan kerana ia memiliki keistimewaan dengan ketetapan iman, keteguhan dalam keyakinan, ketaatan yang berterusan dan istiqamah di atas manhaj Islam.


Sumber : Abdullah Nasih Ulwan, Pemuda Muslim Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini, www.dakwah.info

0 ulasan: