BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Jumaat, 12 September 2008

Bisikan Nafsu



Wahai para pemuda, jalan penyelesaian terpenting untuk membebaskan dirimu daripada tipu daya dan hasutan syaitan, melepaskan dirimu daripada perhiasan dan kesesatannya sebagaimana yang telah kami ambil daripada ayat-ayat al-Quran.


Kita ringkaskan jalan-jalan penyelesaian tersebut di dalam beberapa noktah berikut:

° Syaitan adalah musuh kepada manusia, maka kamu hendaklah menjadikannya sebagai musuh.

° Beristiqamah mengikuti manhaj rabbani dan berjalan di atas jalan yang lurus.

° Mempertingkatkan keimanan terhadap Allah, berlindung dan bertawakkal kepadaNya.

° Memohon perlindungan dengan Allah setelah dia merasakan godaan daripada syaitan yang direjam.

° Mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah dan merasakan pemerhatianNya di setiap masa samada ketika sunyi atau nyata.

° Menghidupkan hati dan anggota yang lain dengan zikir kepada Allah dan sentiasa taat serta beribadat kepadaNya.

° Sedar dan beringat setelah dialpakan oleh syaitan dan memutuskan hubungan dengan ahli batil dan sesat.


Dengan penyelesaian ini, kamu -wahai saudaraku para pemuda-akan menjadi insan yang beriman, sedar dan pandai bertindak di dalam segenap perkara. Kamu akan menjadi seorang yang mempunyai keimanan yang mendalam, beriltizam dengan manhaj Islam dan ajaran al-Quran. Syaitan tidak akan dapat bergantung, memperdaya atau menguasai kamu. Kamu selama-lamanya akan menjadi seorang hamba Allah yang ikhlas dan tenteraNya yang menang. Inilah makna firman Allah yang telah menggugat syaitan dengan kata-kata yang menggentarkan:

Maksudnya: Sesungguhnya hamba-hambaKu tidak adalah bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihan mereka sendiri). (Al Hijr,15: 42)


Inilah yang telah diakui oleh syaitan sendiri bahawa dia tidak mempunyai jalan untuk menggoda hamba Allah yang ikhlas:

Maksudnya: Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana engkau telah menjadikan daku sesat, maka demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semua, kecuali di antara zuriat Adam itu orang-orang yang dibersihkan daripada sebarang syirik.(Al Hijr,15: 39-40)



Inilah rahsia sabda Rasulullah s.a.w kepada Umar al-Faruq:

Maksudnya: Demi Allah yang diriku berada di bawah kekuasaanNya. Syaitan tidak akan bersemuka dengan engkau, apabila engkau melalui satu jalan maka syaitan akan melalui jalan yang lain. (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.)

Adalah diharapkan kepada kamu -wahai saudaraku para pemuda-supaya menjadi hamba Allah yang ikhlas dan mengikut manhaj yang dilalui oleh Umar al-Khattab iaitu keteguhannya bersama kebenaran iman, taqwa dan iltizamnya dengan Islam supaya tidak ada satu jalan pun untuk syaitan memperdayakan kamu... sehingga kamu tidak terpengaruh dengan kesesatan dan tipu daya syaitan di setiap detik kehidupanmu... Dan sesungguhnya firman Allah adalah benar dan hanya Dia sahaja yang mampu menunjukkan kepada kita semua jalan yang lurus.

Ketika Allah menjadikan jiwa manusia, Dia menjadikan di dalamnya dua penerimaan:

penerimaan terhadap kebaikan dan penerimaan terhadap kejahatan. Sekiranya manusia memperlengkapkan jiwanya dengan akhlak, amal soleh dan mengasuhnya dengan ilmu dan pentarbiahan... jiwa tersebut akan membesar dan berkembang dengan mengikut petunjuk dan kebaikan, beransur-ansur menuju ke arah keseimbangan dan kesempurnaan dan sentiasa bekerja untuk memperbaiki dirinya dan juga orang lain.


Sekiranya dia mengabai dan membiarkannya beberapa hari tanpa pengasuhan sehingga jiwanya diselaputi oleh karat-karat kejahilan, ditutup oleh wabak pergaulan bebas dan ditimbuni oleh suasana yang rosak serta adat kebiasaan yang keji, maka tidak syak lagi ia akan membesar bersama-sama kejahatan, kefasadan dan penyelewengan.


Al-Quran dan as-Sunnah telah menegaskan perkara ini. Allah telah berfirman:

Maksudnya: Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenali) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya kerjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebaikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (As Syams,91: 7-10)

Imam Bukhari telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Maksudnya: Setiap kanak-kanak itu dilahirkan di dalam keadaan bersih, maka kedua ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.

Imam Al Ghazali telah menegaskan di dalam Ihya’ Ulumuddin tentang penerimaan jiwa manusia terhadap kebaikan dan juga kejahatan serta persediaannya untuk beristiqamah di atas jalan yang lurus ataupun menyeleweng ke jalan yang sesat ketika beliau berkata:

Kanak-kanak adalah amanah kepada kedua ibubapanya dan hatinya berada dalam keadaan bersih. Sekiranya kanak-kanak tersebut disediakan dan diajar dengan kebaikan, maka dia akan membesar di atas kebaikan dan akan berbahagia di dunia dan akhirat.

Sekiranya dia disediakan dan diajar dengan kejahatan serta dibiarkan seperti binatang ternakan, dia akan menderita dan binasa. Menjaganya ialah dengan mendidik dan mengajarnya akhlak yang mulia.

Alangkah indahnya kata-kata penyair:

Akhlak tumbuh seperti tumbuh-tumbuhan,
apabila disirami air, ia akan tumbuh dengan baik,
sekiranya penjaganya menyediakan tempat yang baik,
ia akan mengeluarkan hasil yang baik.

Menurut al-Quran, nafsu terbahagi kepada tiga bahagian: Nafsu ammarah, nafsu lawwamah dan nafsu mutmainnah. Kita akan membincangkan ketiga-tiga nafsu ini secara ringkas.

1. Nafsu Ammarah:

Allah telah berfirman melalui lisan isteri raja Mesir di dalam surah Yusuf:

Maksudnya: Dan aku tidak membebaskan diri aku (dari kesalahan). Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang telah diberikan rahmat oleh Tuhanku. Maka Tuhanku adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (Yusuf,12: 53)

Maknanya: Nafsu manusia yang tidak dihiasi dengan keimanan dan tidak dibekalkan dengan ketaqwaan serta tidak beriltizam dengan agama rabbani... kebanyakannya akan mendorong manusia melakukan kejahatan disebabkan adanya dorongan syahwat dan penerimaan kejahatan yang telah dibekalkan kepadanya untuk mendapatkan kelazatan.

Begitu juga kerana adanya hasutan syaitan dan ia menghiasinya dengan berbagai-bagai dorongan...

Dengan ini, isteri raja telah menggoda dan mengajak Nabi Yusuf untuk melakukan kejahatan. Apabila Nabi Yusuf menolak, dia telah menghasut raja supaya memenjarakannya. Semua ini bertujuan menodai kesucian Nabi Yusuf dengan segala kejahatan dan tohmahan serta perkara yang menyakitkan.

Perkataan ‘kecuali orang yang telah diberikan rahmat oleh tuhanku’ membawa maksud Allah telah mengecualikan nafsu yang dirahmatiNya. Dia akan menjauhkannya daripada segala kejahatan dan kekejian, sebagaimana yang telah dilakukan kepada Nabi Yusuf a.s.

Perkataan ‘Maka Tuhanku adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani’ membawa maksud Tuhanku maha pengampun bagi sesiapa yang bertaubat dan menyesali perbuatan jahatnya. Dia akan mengampunkan dosa yang dilakukan oleh manusia kerana tabiat dan penerimaan kejahatan yang telah dijadikanNya untuk manusia, di mana ia dijadikan cenderung kepada kejahatan, penyelewengan dan menuju ke arah memenuhi tuntutan syahwat dan kelazatan.

2. Nafsu Lawwamah.

Allah telah berfirman di dalam surah al-Qiamah:

Maksudnya: Aku bersumpah dengan hari kiamat, dan Aku bersumpah dengan Nafsu Lawwamah (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati). (Al Qiamah,75: 1-2)

Mujahid berkata: Nafsu ini adalah nafsu yang mengeji dirinya sendiri di atas apa yang telah berlaku dan menyesali perbuatan jahat yang telah dilakukannya serta menyesali terhadap kebaikan, kenapa dia tidak memperbanyakkannya. Dia sentiasa mengeji dirinya walaupun dia telah bersungguh-sungguh melakukan ketaatan.


Al Farra’ pula berkata: "Ia sentiasa mengeji perbuatan jahat dan baik yang telah dilakukannya. Sekiranya dia melakukan kebaikan dia akan berkata: Kenapa aku tidak menambahnya?. Sekiranya dia melakukan kejahatan dia akan berkata: Amat celakalah apa yang telah aku lakukan.” Sekiranya beginilah keadaannya, maka ia merupakan pujian kepada nafsu.

3. Nafsu Mutmainnah.

Allah telah berfirman di dalam surah Al Fajr:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang mempunyai jiwa yang tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya (nafsu mutmainnah)! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan puas hati lagi diredhai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah kamu ke dalam golongan hamba-hambaKu yang bahagia. Dan masuklah ke dalam syurgaKu. (Al Fajr,89: 27-30)

Nafsu Mutmainnah adalah nafsu yang tetap berada di atas keimanan, ketaqwaan dan Islam.

Makna ayat di atas ialah: Wahai nafsu yang telah tetap dan teguh di atas keimanan, kebenaran dan beriltizam dengan jalan Islam serta menjaga garis sempadan syarak... kembalilah ke tempat yang mulia di sisi Tuhanmu dalam keadaan redha dengan apa yang telah engkau lakukan di dunia dan engkau pula diredhai oleh Tuhanmu. Engkau tidak suka marah dan tidak terfitnah... tidak ketika kaya dan tidak ketika miskin, tidak ketika sihat dan tidak juga ketika sakit, tidak ketika senang dan tidak pula di waktu susah. Engkau tidak melampaui batasan syarak di dalam hak dan tanggungjawab engkau... masuklah wahai nafsu mutmainnah ke dalam kumpulan hamba-hamba Allah yang dimuliakan dan bergabunglah ke dalam partinya yang soleh... masuklah syurga Allah yang mana kenikmatannya tidak pernah disaksikan di dunia dan tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak pernah terlintas di dalam hati manusia.

Tidak ragu lagi bahawa nafsu Mutmainnah merupakan nafsu yang paling tinggi sekali darjatnya daripada nafsu-nafsu yang telah disebutkan kerana ia memiliki keistimewaan dengan ketetapan iman, keteguhan dalam keyakinan, ketaatan yang berterusan dan istiqamah di atas manhaj Islam.


Sumber : Abdullah Nasih Ulwan, Pemuda Muslim Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini, www.dakwah.info

Isnin, 1 September 2008

Festival Bulan Ibadah




Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah!

Bersyukur ke hadrat Illahi kerana telah memberi peluang kepada kita sekali lagi untuk menjejaki dan merasai bulan yang penuh rahmah, Ramadhan. Inilah peluang kita, ya, peluang yang sangat kita tunggu-tunggu selama sebelas bulan untuk kita melipatgandakan amalan kita. Bulan untuk kita sama-sama mencari rahmat Allah. Ayuhlah kawan-kawan kita menghiburkan diri kita dengan amal-amal soleh. Mengoptimumkan masa kita dengan pengabdian kepada Allah. Mengimarahkan rumah-rumah Allah. Memeriahkan 'Festival Bulan Ibadah'.
Firman Allah SWT:


Maksudnya: ...dan hendaklah kamu mengagungkan Allah kerana memberi petunjuk kepada kamu, semoga kamu bersyukur. (Al-Baqarah, 2:185)

Di masjid, di surau, di rumah, di pejabat, ada saja yang kelihatan sedang bertilawah, bertadarus, berzikir, solat, bersedekah, menghadiri majlis ilmu, dan sebagainya seolah-olah ada satu pesta yang sangat meriah di mana-mana sahaja. Malah, bukan sahaja manusia, tetapi pokok-pokok, daun-daun, batu-batu, awan, langit, bumi dan seluruh alam semesta ini sedang beribadat dan meraikan 'Festival Bulan Ibadah' ini. Jadi, janganlah kita ketinggalan untuk sama-sama ikut serta bagi memeriahkannya. Semoga amalan kita dibulan yang mulia ini mendapat keredhaan-Nya, insyaAllah. Wallahu'alam.

Selamat beramal dibulan Ramadhan!

Isnin, 25 Ogos 2008

Memeriksa Diri


Saya ingin mengajak anda semua untuk menguji diri kita masing-masing dengan ujian iman dan Islam, dan mengukur kehidupan kita dengan sinaran kriteria tersebut. Bila anda mengakui telah menerima Islam dan menyatakan iman kepadanya, periksalah...


1-Apakah benar bahawa hidup dan mati anda adalah benar-benar untuk Allah saja?

2-Apakah hidup, akal fikiran, tenaga yang ada pada jiwa dan raga anda, waktu dan usaha-usaha anda, semuanya anda abdikan untuk memenuhi kehendak Allah?

3-Apakah yang harus anda kerjakan untuk menunjang tercapainya tugas yang telah diberikan Allah kepada umat Islam?

4-Selanjutnya, apakah anda telah memberikan seluruh kepatuhan dan pengabdian anda sepenuhnya kepada Allah?

5-Apakah pelayanan kepada hawa nafsu dan pengabdian kepada keluarga, saudara-saudara, handai-taulan, masyarakat dan penguasa Negara, telah sepenuhnya terhapus dari jiwa anda?

6-Sudahkah anda mengukur suka dan benci anda, seluruhnya tergantung pada kehendak Allah?

7-Kemudian anda juga harus memeriksa apakah bila anda mencintai seseorang, hal itu anda lakukan kerana Allah atau tidak; apakah bila anda membenci seseorang, juga kerana Allah?

8-Apakah dalam cinta dan benci anda tidak terkandung unsur egoisme atau keangkuhan?

9-Sekali lagi, anda harus memeriksa apakah tindakan anda dalam memberi atau tidak memberi sesuatu kepada seseorang juga telah anda lakukan kerana Allah?

10-Benarkah bahawa, apa pun yang anda belanjakan untuk kepentingan anda sendiri ataupun anda berikan kepada orang lain adalah kerana hal itu telah ditetapkan Allah, dan bahawa dengan pembelanjaan dan pemberian itu, tujuan anda adalah semata-mata mencari redha-Nya?

11-Demikian juga bila anda tidak memberikan sesuatu kepada seseorang, apakah hal itu juga kerana Allah melarang anda memberikannya?

Bila anda merasakan yang sedemikian itu dalam diri anda, maka anda harus bersyukur kepada Allah bahawa anda telah dianugerahi rahmat iman dalam kepenuhannya. Tetapi bila dalam hal ini anda masih merasakan sesuatu kekurangan, maka anda harus memusatkan tekad dan perhatian anda untuk menghilangkan kekurangan ini, kerana kesejahteraan anda di dunia ini dan keselamatan anda di akhirat nanti, tergantung pada usaha anda untuk menghilangkan kekurangan dalam iman anda itu. Tetapi kejayaan anda itu tidak akan dapat menebus kerugian anda di akhirat, kerana kekurangan iman anda itu. Tapi bila anda berhasil menutupi kekurangan iman anda, maka walaupun anda tidak memperoleh apa-apa du dunia ini, anda akan tetap berjaya di akhirat nanti.

Ukuran ini ditetapkan bukan dengan meksud agar anda menguji orang-orang lain dengannya, dan menentukan apkah mereka itu Mu’min, kafir atau munafiq, tetapi agar anda menguji diri anda sendiri, dan setelah mengetahui kekurangan dalam iman anda, anda segera mencuba menghilangkannya sebelum anda dihadapkan di pengadilan akhirat nanti. Anda tidak perlu penilaian ‘ulama’, mufti atau kadi mana pun juga, tentang diri anda. Yang penting bagi anda adalah penilaian dari Penguasa Tertinggi, yang tahu akan hal yang ghaib mahupun yang kelihatan. Janganlah anda cepat merasa puas dengan melihat nama anda tercantum sebagai seorang Islam dalam daftar tanda penduduk anda, tetapi berusahalah agar nama anda tercatat dalam Buku-Catatan Allah sebagai hamba-Nya yang patuh. Tidak ada gunanya bila seluruh manusia di dunia ini memberikan surat keterangan bahawa anda adalah seorang Islam. Kejayaan anda yang sebenarnya terletak dalam penilaian yang diberikan oleh Allah, bahawa anda adalah seorang Mu’min, bukannya seorang munafiq, seorang beriman, bukannya seorang kafir.

Sumber : Sayyid Qutb & Abu’l A ‘la Al-Maududi. 2001. Manhaj Hidup Muslim. Shah Alam. Dewan Pustaka Fajar.

Ahad, 17 Ogos 2008

Dua Dozen


Pada suatu hari, Mak Jah menyuruh Pak Din ke kedai untuk membeli susu sebanyak dua dozen. Maka Pak Din pun pergilah dengan penuh semangat untuk membantu isteri tercinta. Apabila pulang, Mak Jah sangat heran apabila hanya mendapati Pak Din hanya membawa air susu dalam plastik yang sedia untuk diminum. Apabila ditanya, Pak Din pun menjawab:
'inilah susu dua posen yang awak mintak, mesti awak suka kan...' Lalu Mak Jah pun berlalu dengan muka yang merah padam. Sekian.

Sekadar mukadimah yang tidak ada kene mengena dangan perkara yang nak disampaikan. Dibawah baru cerita sebenar.

Hari demi hari, minggu demi minggu,
bulan demi bulan, tahun demi tahun.
Akhirnya cukuplah usianya dua dozen.

Ya, dua dozen.
Hari ni adalah tarikhnya.
Terima kasih kepada taulan yang 'wish' sejak 12 tgh mlm tadi.
Mengharapkan kehidupan yang lebih baik dan diberkati Yang Satu.
Amin, semoga dimakbulkan.

Dalam mengenang umur yang semakin meningkat, tanpa disedari usia sudah semakin kurang. Waktu untuk berada di dunia ini semakin suntuk. Sudah 24 tahun masa berlalu. Apa yang aku dapat dalam masa itu. Sudah cukupkah amalan yang dikumpul untuk menghadap Dia? Ada peningkatankah antara 23 dan 24? Hanya diri dan Allah sahaja yang tahu.

Disaat suasana pemergian seorang siswi masih segar, telah 'dipanggil' menemui Penciptanya dalam usia yang lebih kecil dari 24. Ini menunjukkan kematian kita tidak bersandarkan usia, atau amalan kita. Tetapi ianya sesuatu yang telah ditetapkan sejak dahulu lagi. Siapa yang tahu esok masih ada lagi untuk kita? Siapa yang tahu tahun depan kita masih boleh bergelak ketawa lagi bersama rakan-rakan. Siapa yang tahu kita akan mencapai hari tua kita? Siapa yang tahu? Hanyalah Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya.

Firman Allah s.w.t.




"Setiap yang bernyawa akan merasai mati." (Ali-Imran, 3:185)



Jadi, janganlah kita suka berbangga dengan apa yang kita miliki kini, BMW, Laptop Compaq, CEO syarikat multinasional, isteri yang cantik, anak-anak yang cerdik, kawan-kawan yang baik, semuanya akan hilang apabila ruh dan jasad bercerai pada waktu yang telah ditentukan-Nya. Tidak kira setinggi mana kita berada, ke tanah jua tempat bersemadi. Jadi, sama-samalah kita berazam untuk hidup untuk mencapai Mardhatillah dan mati dengan Khusnul Khatimah. Wallahu'alam.

Isnin, 28 Julai 2008

Generasi Harapan






Di mana dicari pemuda Kahfi
Terasing demi kebenaran hakiki
Di mana jiwa pasukan Badar berani
Menoreh nama mulia perkasa

Umat melolong di gelap kelam
Tiada pelita penyinar terang
Penunjuk jalan kini membungkam
Lalu kapankah fajar kan datang

Mengapa kau patahkan pedangmu
hingga musuh mampu membobol bentengmu
Menjarah menindas dan menyiksa
Dan kita hanya diam sekedar terpana

Bangkitkan negri lahirkan generasi
Pemuda harapan tumbangkan kezaliman

Wajah dunia Islam kini memburam
Cerahkan dengan darahmu
Panji Islam telah lama terkulai
Menanti bangkit kepalmu

song by: Izzatul Islam

Khamis, 26 Jun 2008

Wahyu atau Nafsu?



Dalam hidup kita sebagai seorang muslim, hanya ada dua pilihan dalam setiap perbuatan atau amalan kita setiap saat dan setiap waktu iaitu Wahyu ataupun Nafsu. Sekiranya bukan wahyu, maka nafsulah ia dan begitu juga sebaliknya. Tiada jalan tengah di antara syariat Allah dan keinginan hati. Tiada percampuran antara wahyu dan nafsu kerana kedua-duanya adalah dua perkara yang bertentangan. Ibarat timur dengan barat. Umpama utara dengan selatan. Tiada titik pertemuan diantara keduanya.

Wahyu adalah sesuatu yang diturunkan oleh Allah sama ada terus seperti dalam Al-Quran mahupun melalui utusan Baginda Ar-Rasul. Wahyu adalah sesuatu yang hak, yang benar. Manakala nafsu pula ialah keinginan manusia sendiri tanpa mengikut apa yang telah disyariatkan Allah. Walaupun logik akal mengatakan sesuatu perbuatan itu adalah baik, tetapi jika ianya bukan datang dari Allah, maka nafsulah namanya. Begitu juga sebaliknya.

Firman Allah S.W.T.:

“Kemudian Kami jadikan engkau (Ya Muhammad) di atas syariat(peraturan) di antara urusan(agama), maka ikutlah syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak berilmu.”

(Al-Jatsiyah, 45:18)

Kita sebagai seorang pelajar universiti, adakah kita belajar di IPT itu adalah tuntutan wahyu atau memenuhi kehendak nafsu? Supaya dipandang hebat oleh masyarakat, agar mendapat pekerjaan yang hebat, dipaksa oleh orang tua, atau menganggap ianya adalah satu tuntutan agama? Semuanya bergantung kepada nawaitu kita yang menentukan sama ada ianya adalah nafsu ataupun wahyu.

Begitu juga kiranya kita adalah seorang peniaga, penjawat awam, pemandu bas, pemimpin persatuan, ketua pegawai eksekutif syarikat korperat, mahupun cacai tua angkat najis, ianya bergantung kepada niat dan cara kita mengerjakannya. Seorang yang duduk rumah di kerusi malas tanpa berbuat apa-apa boleh dikatakan wahyu dan boleh juga dikatakan nafsu. Andai niatnya adalah kerana malas hendak berusaha dan membuang masa, maka nafsulah ia. Tapi andai niatnya adalah untuk berehat sebentar dan memulihkan tenaga supaya dapat beribadat kepada Allah seperti qiamullail dan sebagainya, maka wahyulah ia. Tapi andai niat yang baik diikuti dengan cara yang bukan syariat, maka nafsulah jua akhirnya.

Memetik kata-kata Maimun bin Mahran Rahimahullah, seorang ahli hadis yang thiqah, “Jauhkanlah dirimu dari keinginan yang bukan atas nama Islam.” Wallahu’alam.

Sumber :
- Al-Munthalaq, Muhammad Ahmad Ar-Rashid
- Ustaz Wan Hassan Wan Embong

Rabu, 12 Mac 2008

Kriteria-Kriteria Lelaki Soleh



Soleh dapat di definisikan sebagai seorang lelaki muslim yang beriman (mukmin), bersih dari segi zahir dan batinnya, mengambil makanan yang bersih dan halal(bukan dari sumber yang haram)serta sentiasa berusaha menjauhkan dirinya dari perkara perkara yang akan mendorong kearah maksiat dan menariknya ke jurang NERAKA yang amat dalam. Lelaki soleh juga ialah seorang lelaki yang sentiasa taat kepada Allah swt. dan RasulNya walau dimana sahaja mereka berada dan pada bila bila masa sahaja. Amal soleh pula apabila dilakukan yang paling betul dan bertepatan dengan syari'at Allah S.W.T dan sunnah Rasulullah S.A.W.

KRITERIA-KRITERIA LELAKI SOLEH SEPERTI YANG DIMAKSUDKAN OLEH AL QURAN DAN AL HADIS


1. Sentiasa taat kepada Allah swt dan Rasullulah saw.

2. Jihad Fisabilillah adalah matlamat dan program hidupnya.

3. Mati syahid adalah cita cita hidup yang tertinggi.

4. Sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran dari Allah swt.

5. Ikhlas dalam beramal.

6. Kampung akhirat menjadi tujuan utama hidupnya.

7. Sangat takut kepada ujian Allah swt. dan ancamannya.

8. Selalu memohon ampun atas segala dosa-dosanya.

9. Zuhud dengan dunia tetapi tidak meninggalkannya.

10. Solat malam menjadi kebiasaannya.

11. Tawakal penuh kepada Allah taala dan tidak mengeluh kecuali kepada Allah swt

12. Selalu berinfaq samaada dalam keadaan lapang mahupun sempit.

13. Menerapkan nilai kasih sayang sesama mukmin dan ukhwah diantara mereka.

14. Sangat kuat amar maaruf dan nahi mungkarnya.

15. Sangat kuat memegang amanah, janji dan kerahsiaan.

16. Pemaaf dan lapang dada dalam menghadapi kebodohan manusia, sentiasa saling koreksi sesama islam dan tawadhu penuh kepada Allah swt.

17. Kasih sayang dan penuh pengertian kepada keluarga.


p/s: lelaki soleh bukan sahaja untuk seseorang yang bernama Soleh, tapi kepada semua yang bergelar muslim. Dan lelaki yang bernama Soleh juga tak semestinya mempunyai sifat yang soleh, tapi mungkin berazam untuk menjadi seorang lelaki soleh seperti yang dinyatakan dalam al-Quran dan Sunnah. So, marilah kita semua berazam dan berusaha untuk menjadi lelaki soleh dan wanita solehah, insyaAllah.

originally by:
Muhammad Muaz from iluvislam.com~peace~

Rabu, 20 Februari 2008

Penunggang Motosikal Yang Terjal


Kisah ini bukanlah ada kaitan dengan mat rempit, tapi sebaliknya adalah kisah seorang penunggang motosikal yang berhemah sebenarnya. Semasa mengambil lesen B2 dulu, dia adalah salah seorang calon yang lulus dengan cemerlang. Semua peraturan jalanraya difahami dengan penuh kesedaran dan mendapat pujian dari pegawai JPJ yang bertugas. Tapi, pada suatu hari yang biasa, penunggang motosikal yang biasanya berhemah itu ingin bertindak diluar kebiasaannya dan teringin sekali merasakan bagaimana agaknya perasaan melanggar undang2 jalanraya.

Dengan azam yang tinggi, beliau keluar dari rumah. Hala tujunya adalah pusat bandar yang sibuk dan kebiasaannya ramai polis yang membuat rondaan. Dengan tidak memakai topi keledar, beliau menunggang melawan arus laluan kenderaan lain. Maka ramailah kenderaan yang membunyikan hon dan membingitkan suasana pada setiap laluannya. Pantang melihat lampu merah pada lampu isyarat, diteruskan pula perjalanannya tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Maka berlakulah banyak kemalangan kecil dikalangan kenderaan lain yang cuba mengelak dari merempuh beliau di merata-rata tempat. Keadaan menjadi huru-hara, tapi beliau tidak langsung menimbulkan perasaan bersalah sebaliknya 'enjoy' dengan keadaan itu kerana menganggap telah berjaya mengubah sesuatu.

Tidak lama kemudian - hasil aduan orang ramai - beliau telah berjaya ditangkap pihak berkuasa dan dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. Pada sesi siasatan itu, salah seorang anggota bertanya kepada beliau,"kamu ni gila ke apa? kamu tau tak yang kamu telah melakukan satu kesalahan besar dalam undang2 jalanraya? Kamu telah menyebabkan ramai orang mendapat kecelakaan akibat dari perbuatan kamu itu. Kita ada undang2 yang perlu dikuti supaya semua orang dapat menggunakan jalanraya dengan sebaik mungkin. Tapi perbuatan kamu telah merosakkan sistem yang kita buat selama ni. Kamu...bla...bla...bla..." Setelah diceramah, dileter, dan dikaunselingkan oleh anggota terbabit, beliau telah mengaku salah dan dijatuhi hukuman yang setimpal.

Moral of the story:
1. Hidup kita di dunia telah dibekalkan dengan panduan lengkap utama iaitu al-Quran dan as-Sunnah (QS). Seperti sabda Nabi SAW yang berbunyi,

"aku tinggalkan kamu dua perkara, selagi mana kamu berpegang padanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku."

2. Kehidupan kita hari ini banyak tidak berlandaskan QS, sebaliknya kita berbangga dengan idea dan pemikiran kita yang bernas itu dalam menetapkan dan menentukan sesuatu perkara sedangkan kita percaya dan yakin bahawa QS adalah sumber terbaik dan meliputi sekalian alam.
Kenapa ye?

3. Saban hari kita membaca al-Quran dengan penuh penghayatan, disertai pula dengan taranum Hijaz dan Bayyati, tetapi, adakah kita memahami maksud ayat yang kita baca? kalau kita faham, adakah kita mengamalkannya? Tepuk dada, tanya iman.

4. Kita dapat melihat di zaman pembangunan fizikal yang semakin rancak, terdapat bermacam-macam malapetaka yang melanda akibat dari keruntuhan akhlak dan rohani manusia kini. Ini berlaku kerana 'kebijaksanaan' kita dalam mentadbir bumi ini. Dalam al-Quran, Allah menyebut,

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). " Ar-Rum:41.

5. Akhir sekali, sama-samalah kita mengkoreksi diri kita. Untuk apa kita berada di atas bumi ini? ke mana hala tuju kita? apa pegangan dan panduan hidup kita? Hanya diri sendiri yang mampu menjawab segala persoalan tersebut. Wallahu'alam.

Selasa, 12 Februari 2008

Tragedi Solat Jumaat



Pada suatu hari yang tenang, hari tu hari jumaat. Maka ramailah lelaki muslim terdiri dari pelbagai peringkat umur tua, muda, kanak-kanak berpusu-pusu ke masjid bagi menunaikan kewajipan solat Jumaat. Masjid yang boleh memuatkan 2000 jemaah kelihatan hampir penuh. Begitulah kelaziman bagi penduduk pekan tersebut saban minggu.

Setelah selesai khutbah yang dibacakan oleh khatib yang bertugas pada minggu itu, mereka pun bersiap-siap untuk menunaikan solat Jumaat. Dan disaat itu jugalah datang seorang lelaki yang berpakaian serba hitam dengan menutup muka tampil lengkap bersenjatakan machine gun dengan butiran peluru melilit tubuhnya yang tegap dan sasa. Selepas melepaskan beberapa das tembakan ke udara, lelaki itu menjerit, "Sesiapa mahu hidup, keluar dari masjid ini sekarang juga." Maka bertempiaran berlari para jemaah yang baru hendak memulakan solat tadi dengan lintang pukang dek kerana ketakutan yang amat.

Selepas seketika, masjid tersebut yang seketika tadi hampir penuh, kini hanya tinggal beberapa saf sahaja yang masih setia untuk menunaikan solat Jumaat termasuk Pak Imam dan Bilal. Kemudian, lelaki tadi memandang tepat ke arah pak Imam sambil bergerak menghamprinya dan berkata, "saya dah usir semua orang munafik dan mereka yang bertopengkan Islam, sekarang teruskanlah solat." Lalu Pak Imam pun meneruskan solat Jumaat dan disertai oleh lelaki tadi.

Moral of the story :
1. Jadilah kita seorang Islam yang sebenar-benarnya di mana solat kita, ibadat kita, hidup kita, dan mati kita hanyalah untuk Allah yang selalu kita bacakan di awal solat.

2. Jadilah kita seorang muslim sejati yang sanggup mengorbankan jiwa, harta dan segala-galanya hanya pada Allah. Dan sentiasalah berazam untuk mati syahid. Wallahu'alam.